Wednesday, March 19, 2008

KECELUPARAN YANG SUKAR DIMAAFKAN APABILA INSTITUSI RAJA MELAYU DICABAR PENGAMAL PERLEMBAGAAN!

Episod mengguris kuasa Raja-Raja Melayu sering cuba dicabar oleh orang-orang Melayu sendiri. Apatah lagi bangsa-bangsa lain yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia selepas kemerdekaan, namun kita sebagai Melayu cukup memahami kegusaran bukan Melayu berhubung isu-isu yang cuba disentuh.

Melayu masih boleh memaafkan bangsa bukan Melayu dek perlanggaran yang disulami ketidakfahaman mereka, tetapi Melayu cukup terkilan apabila adanya Melayu yang cuba menidakkan hak-hak institusi istana sebagai kepala rasmi negara! Alangkah sedihnya apabila kedangkalan perbuatan itu lahir dari Melayu yang boleh dikelaskan sebagai elit melayu, samada dari pendidikan dan penguasaan dalam pentadbiran negara.

Raja Berperlembagaan bukan bermaksud institusi beraja boleh melampaui undang-undang persekutuan dan negeri namun ianya juga tidak boleh disentuh dan dilampaui secara terbuka untuk tatapan rakyat dengan tujuan menghormati kepala negara yang memikul setinggi tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt. Prosedur dan tatacara mestilah kepada landasan yang betul tanpa perlu diterjah bagai kaum gasar yang tidak pernah mendapat pendidikan adab yang formal.

Zaman imperial dan koloni penjajahan ke atas Tanah Melayu jelasnya cuba mengurangkan kuasa raja-raja Melayu apabila mereka gagal untuk menyanggah ketuanan Melayu berkaitan hasil mahsul yang sukar dimonopoli sepenuhnya oleh mereka.

Setelah kuasa-kuasa imperial tersebut berjaya diusir dari bumi bertuah ini, sehingga hari ini masih terdapat kesan-kesan penjajahan dalam diri anak Melayu sendiri yang kadangkala mengguris perasaan apabila ketuanan Melayu dan hak rajanya cuba disanggah sewenangnya!

Hari ini, sebelas hari dari tarikh Pilihanraya Umum Malaysia yang ke 12 (08 Mac 2008), sekali lagi Institusi Raja- Raja Melayu cuba disentuh oleh manusia yang kuatnya berpegang kepada common law diasaskan penjajah. Begitu sedih sebagai Melayu, melihat pengamal undang-undang tertinggi negara, juga seorang Melayu yang ditauliahkan oleh pemimpin Melayu berwatikahkan dan diperkenan Raja Melayu sendiri.



Berikut disiarkan kenyataan penuh Abd Ghani Patail (Ketua Peguam Negara Malaysia):

"Pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat oleh Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja menurut Perkara 14(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Dalam hal ini, calon yang layak dilantik sebagai Menteri Besar hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja boleh mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyedari sepenuhnya tentang peruntukan tersebut dan bahawa Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar. Ini adalah kerana menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon Baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar. Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut.
Dalam soal pemilihan Menteri Besar, Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja adalah terikat dengan peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan sesiapa jua daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut hendaklah dilantik.
Dalam hal yang sedemikian, mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja atau sesiapa jua tetapi seorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.
Oleh kerana itu dalam hal pelantikan Menteri Besar, tidak berbangkit isu perebutan antara Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja pada satu pihak dengan Kerajaan Negeri pada satu pihak lain.
Proses pelantikan Menteri Besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh Undang-Undang sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu."

Nah, inilah pengumuman terbuka orang Melayu yang ‘cerdik’ tentang undang-undang negara namun terlupa ‘adabnya’. Pengumuman ini turut mendapat liputan media arus perdana.

Namun Melayu Malaysia masih bernasib baik bila ada Melayu yang berani mempertahankan adab sebagai rakyat dengan rajanya, sekalipun hanya sebagai rakyat biasa yang tidak diwatikahkan sebagai wakil baginda.

Pensyarah Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Abdul Ghani tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka kepada umum.
"Dia telah membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku, lantaran kelewatan proses perlantikan Menteri Besar Terengganu dengan mendakwa terdapat campurtangan dalam hal tersebut oleh Yang Di-Pertuan Agong, ia adalah tindakan yang tidak wajar.
"Kenapa dia perlu buat kenyataan terbuka mengenai hal tersebut sedangkan beliau boleh menyelesaikannya secara prosedur yang lebih sesuai," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Aziz juga mempertikaikan mengenai tindakan campurtangan Peguam Negara itu yang menimbulkan persoalan berkaitan bidang kuasa beliau.
"Sebagai Peguam Negara, beliau adalah penasihat undang-undang Persekutuan, sedangkan Penasihat Undang-undang Negeri tidak memberikan apa-apa komen.
"Ini jelas menunjukkan beliau telah melanggar bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya dan ini adalah suatu perkara yang tidak betul," katanya.
Jelasnya, Melayu penderhaka sememangnya akan ditentang oleh Melayu yang setia dan beradab. Biarpun Hang Tuah terlalu beradab namun tidak mendapat tempat di hati raja, namun kebiadapan Hang Jebat melangkah adab dan adat sesekali tidak dijulang oleh rakyat!

Persoalan; dimana Ketua Badan Eksekutif Melayu yang diwatikahkan oleh Raja Melayu? Kenapa begitu naïf membiarkan ketuanan dan adab dengan institusi raja-raja Melayu disanggah anak Melayu tanpa ada suara memanah kebiadapan tersebut?

Bangunlah wahai Melayu, sesungguhnya Melayu telah banyak meninggalkan adab dengan tuannya, apatah lagi tuhannya. Ketahuilah, kamu tidak akan selamat selagi kamu bergelar penderhaka.

Beradablah…………….

# Islam Itu Indah #

1 comment:

Mohd Faizal said...

Yoe..kawe raso demo kena buat ulasan sikit bakpo sultan x berkenan sangat dengan Deris Jusoh!!...Pening org-org T'ganu hok dok luar T'ganu..

peja