Monday, March 24, 2008

PENDERHAKAAN KEPADA INSTITUSI ISTANA NEGERI TERENGGANU!


"Mentaliti dan sikap terkeji 'orang-orang' Terengganu terhadap Institusi Istana Terengganu"
- Wahai Penderhaka Sultan Terengganu, di mana nilai “Ketuanan Melayu Pantang Di Sanggah?”-

Bumi Terengganu akhir-akhir ini mula disimbah rahmat hujan dari Allah setelah berpanas memakan minggu. Aku bersyukur di atas rahmatNya.

Namun di dalam keadaan yang serba dirahmati, arus politik nasional Terengganu begitu kuat bergelora sehinggakan benteng pantai rakusnya diterjah! Siapa punya angkara? Huh! Memang petualang ini patut di’basa’kan secukupnya!

Aku bukannya teremosi dek hempasan gelora yang sedang sedang menggila, namun hak aku untuk meraih rahmat Allah yang damai (dan aku juga percaya kalian juga begitu) sukar memaafkan tangan-tangan fasad merosakkannya walaupun secebis!Maaf, bumi Terengganu ini hanya untuk mereka yang mencari keredhaanNya dan bukan untuk di’gula’kan dengan nafsu amarah yang bersikap petualang!

Setelah hampir separuh dari umur ku bernaung di bawah kesultanan Terengganu, hari ini bagaikan gila rasukan Iblis menghasut ‘orang-orang’ Terengganu menyanggah rajanya sendiri! Apakah ini hasil modal insan yang diwar-warkan oleh pemerintah yang hanya pandai menggayakan lenggok bahasa namun akhirnya terlena dek dangkal akan makna dan penghayatannya. Sudahlah…..cukuplah…..hentikanlah….semua itu hanya retorik yang nilainya hanyalah sekuntum bunga lalang kering, terlontar jauh di tiup sang bayu.

Kalau dahulu, pantang anak Melayu derhaka akan rajanya, namun kini bibit-bibit penderhakaan itu telah melangkaui sempadan yang digariskan. Dek kerana hasutan dan umpanan dunia yang sedikit, mata tetiba terkejip acap, minda mengangguk punah ranah dan iman melayang terkesamping ke sebelah sana. Habislah, rosaklah, jahanamlah, berbondong-bondonglah mereka mengikut kesesatan sedangkan masih ada sinar bulan mengambang penuh memanggil, tapi juga tidak diendahkan! Dasar manusia keduniaan, kesusahan akibat himpitan hidup berkurun ranap dipadam oleh hamburan mulut busuk pemimpin lobanya menelan segelen kasturi untuk meracuni saujana bumi! Wah! Sebenarnya aku tidak pernah menelaah kesusasteraan Melayu, tetapi kesusahan Melayu pernah hadir menyinggahi kehidupanku….

Tergamaknya ‘orang-orang’ Terengganu memalit sejarah menghambur kesat ketuanannya sendiri. Tidakkah kamu sedar, ianya hanya memalitkan namamu sendiri? Aku begitu terkesima dengan perlakuan manusia yang balighnya sudah, namun mumayyiznya masih tahap cukup makan!

Kenbalilah….kembalilah kepada ajaran sebenar bawaan Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW iaitu Kitabullah dan Sunnah kekasihNya. Hindarilah dunia yang melampau, pilihlah akhirat kerajaan syumul sejagat. Yakinlah, janji Allah dan RasulNya tidak pernah mungkir, hanya orang-orang beriman dan berilmu mampu menggapai nikmat dalam erti kata berjaya di dunia namun tidak kecundang di akhirat.

Berdoalah…..

“ Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri, maka ampunilah kami, dan rahmatilah kami…jika sekiranya Engkau Ya Allah tidak mengampuni dan merahmati kami, sesungguhnya kami akan tergolong dalam golongan yang rugi…”
“ Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan semasa di dunia, dan juga kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari siksa nerakaMu….jauhkanlah kami dari siksa nerakamu…jauhkanlah kami dari siksa nerakaMu…..”

Ameen.

# Islam Itu Indah #

KEMELUT PERLANTIKAN MB TERENGGANU…shame on you,Lah!!


Berikut ialah kronologi PRU 12 untuk Negeri Terengganu;

13 Februari 2008 – Pembubaran Parlimen Malaysia diumumkan oleh PM Malaysia, Abdullah Badawi, sekaligus menyatakan kesemua kuasa pentadbiran kerajaan Malaysia dipegang sepenuhnya oleh Yang Dipertuan Agong.

24 Februari 2008 – Penamaan Calon oleh parti-parti bertanding.

8 Mac 2008 – Pilihanraya Umum ke 12 Malaysia dijalankan.

9 Mac 2008 – Keputusan Rasmi PRU-12

Terengganu (Parlimen: 8 DUN: 32)
Parlimen : 7 (BN) 1 (PAS)
DUN : 24 (BN) 8 (PAS)
Majoriti 2/3 (BN)

Calon Menteri Besar: Belum diputuskan (sehingga 24/03/08)
Majlis Angkat Sumpah: Belum ditentukan
Calon yang mendapat watikah Sultan: Ahmad Said (ADUN Kijal)
Bekas MB (Penyandang 2004) : Idris Jusoh

Selepas kesemua kerajaan negeri berjaya dibentuk hasil mandate rakyat pada 8 Mac 2008 yang lalu, hanya Negeri Terengganu yang masih terkapai-kapai tanpa MB yang sah dilantik. Ekoran kelewatan perlantikan ini, Negeri Terengganu menjadi sasaran semua pihak dan kerusi MB tiba-tiba menjadi panas.

Kemelut berpunca akibat perbezaan pendapat antara pihak Istana Terengganu dengan parti yang memenangi majoriti iaitu BN. Apa sebenarnya pendapat yang cuba dipertahankan oleh kedua-dua pihak. Mari kita lihat pegangan dan dan sebab pendirian kedua-dua pihak berkenaan kemelut kuasa perlantikan MB Terengganu;

Pihak Istana Terengganu;

Kaedah perlantikan Menteri Besar Terengganu hendaklah mengikut Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 1911, Dengan Pindaan Pada Tahun 1948.01.21 Masehi Bersamaan 1367.3.10.Perlantikan Menteri Besar tertakluk kepada Undang Undang Bagi Diri Negeri Terengganu 1911 (11.11.1911) Dengan Pindaan (Ditambah Kepada Undang-undang Diri 1911 Pada 21.01.1948 Dikuatkuasa Pada Pada Tarikh Yang Sama ( Fasal 1 (2) ) Yang Dizin.Fasal 5 Undang-undang Bagi Negeri Terengganu( Yang Ditambah Pada 1948) Fasal 5 Memperuntuk Raja Memerintah Mengikut Undang-undang. Raja Berkuasa Melantik Menteri Besar Dan Jua Pada Undang-undang Diri Negeri Terengganu Tambahan 1948 Dibawah Fasal10(I) Dan Fasal 14(1)(2) .Peruntukan Dibawah Undang-undang Diri Negeri Terengganu 1911 Fasal 29 Memileh Dan Menjadikan Menteri Besar Dan Naibnya Adalah Semata-mata Hak Bagi Sultan (Tidak Dipinda)Didalam Tambahan Pada Tahun 1948 Diperuntukan Dibawah Fasal 10 Perlantikan Menteri Besar Duli Yang Maha Mulia Hendaklah Melantik Dengan Surat Lantikan Yang Ditanda Tangani Oleh Baginda Dengan Memakai Mohor Negeri Seorang Menteri Besar Mengikut Syarat2 Perenggan (1) Dibawah Syarat (2)

Pihak BN
(Kenyataan Peguam Negara, Ghani Patail dipetik)

Pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat oleh Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja menurut Perkara 14(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam.

Komen AAB;

“Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut Perlembagaan” di mana kenyataan ini telah dikeluarkan semasa beliau menyaksikan F1 di litar Sepang pada 23/03/08 (sumber: BERNAMA)

Komen Idris Jusoh;
(Ulasan)
Berserah kepada Qadha & Qadar dan keputusan pucuk pimpinan parti, iaitu AAB. Beliau yakin kesemuanya berpihak kepada kuasa rakyat (mandate) yang telah diberikan oleh rakyat Terengganu amnya dan Institusi Istana khasnya. Di samping itu, sokongan tidak berbelah bagi oleh 23 ADUN BN yang memenangi kerusi di Terengganu pada PRU-12 yang lalu.

Komen TuanGuruHjAbdulHadiAwang
(Ulasan)
Rakyat perlu berada di belakang institusi Istana didalam sebarang keputusan yang di buat. Sebulat sokongan perlu berada di belakang keputusan istana tanpa memperjudikan taat setia kepada Raja sebagai kuasa tertinggi memerintah.
Komen Ahmad Said (Bakal calon MB yang telah diberi watikah oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dan direstui oleh institusi Istana. Juga merupakan ADUN yang bertanding di atas tiket BN/UMNO)
Ulasan;
Belum memberikan sebarang respon ketika tulisan ini dbuat (24/03/08)

Komen penulis;

Kemelut ini dilihat sebagai satu bala oleh Allah di atas kemengan dengan cara yang tidak diredhai.

Apa tidaknya, setelah mandat diperolehi, namun BN masih gagal membentuk kerajaan negeri di Terengganu. Apakah terdapat pendekatan yang telah dirancang semasa pemilihan calon dan proses pengundian dibuat dengan kaedah “matlamat menghalalkan cara?”

Apakah Idris Jusoh masih cuba untuk menjadi super power di Terengganu dengan cuba membelakangi keputusan dan kehendak istana?

Dari sumber yang diperolehi secara lisan dan bertulis (saluran alternative), berikut ialah factor/sebab penolakan Idris Jusoh sebagai MB Terengganu untuk sesi 2008-2012;

# Idris Jusoh gagal membangunkan Terengganu walaupun begitu banyak pembangunan fizikal telah dibuat oleh beliau. Dalam erti kata lain, rakyat Terengganu tidak mendapat manfaat sepatutnya hasil pembangunan dan perancangan yang telah di buat beliau.

# Idris Jusoh turut membelakangi Istana dengan tidak diutamakan untuk majlis perasmian melainkan untuk projek mengarut Masjid Kristal di mana YDP Agong diberi penghormatan untuk perasmian. Perkara – perkara sebegini dilihat cuba meminggirkan Istana dari kaca mata rakyat.

# Idris Jusoh gagal di dalam menguasai adab dan protokol istana terutama berkomunikasi dengan YDP Agong dan Pemangku Raja Terengganu, YM Anakanda Tengku Ismail. Penggunaan bahasa kampung dan kebaratan seperti “ayah mu ado ko dok?” “ayah mu gi mana” dan penggunaan ganti nama I dan You yang dilihat setaraf tanpa mengendahkan dengan siapa beliau bercakap”

# Idris Jusoh gagal dan terlalu boros di dalam membelanjakan pendapatan/duit kerajaan negeri tanpa mengira pulangan yang munasabah kepada rakyat Terengganu.

# Idris Jusoh terlupa amaran Allah agar tidak berjalan di atas muka bumi dengan keadaan penuh lagak seolah-olah sanggup menongkat langit.

# Idris Jusoh terlalu drastik di dalam proses mencantas tokoh-tokoh Melayu Terengganu yang dilihat berpotensi tinggi dan berkeupayaan menggugat kredibilitinya sebagai calon MB untuk penggal berikutnya. Proses memasukkan ‘orang-orangnya’ dengan membelakangkan tokoh-tokoh sedia ada seperti Bekas YB Bukit Payong, Dr Latiff yang dilihat calon paling layak memegang jawatan MB telah tidak dicalonkan sebagai calon untuk PRU ke-12. Pengenepian Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu), Wan Farid Wan Salleh (Ladang) dan Abd Rahman Bakar (Marang) dilihat sebagai satu lagi helah Idris Jusoh di dalam mengekang pengaruh tokoh-tokoh tersebut walaupun kewibawaan mereka turut diragui namun dilihat lebih baik berbanding beliau.

# Idris Jusoh juga terlupa akan kata-kata keramatnya “ Tidak Pernah Sebelum Ini, Terengganu jadi Begini…….. “ yang begitu kerap dilaungkannya dan ianya telah dibalikkan Allah akibat keangkuhannya!

Namun, kelemahan Idris Jusoh juga agak setanding dengan kelemahan yang wujud pada calon MB, Ahmad Said.

Ahmad Said lebih digeruni oleh masyarakat Terengganu akibat sikapnya yang biadap terhadap masyarakat penjaja dan peniaga di MPK di mana beliau secara keterlaluan telah bertindak menyepak bakul/barangan penjaja yang dilihat berniaga di luar premis dibenarkan.

Kalau dilihat kepada sikap mengumpul harta dunia, kedua-dua tokoh BN/UMNO di atas boleh dikelaskan sebagai begitu berjaya bahkan sudah boleh digelar Jutawan Melayu Alaf Baru!

Lihatlah betapa banyaknya keuntungan yang diperolehi syarikat Jusoh Enterprise dan lihatlah juga betapa besarnya mahligai Ahmad Said yang mencecah angka jutaan ringgit!

Aduh! Jika digunakan kekayaan mereka dengan konsep membantu golongan miskin Terengganu, barangkali mungkin berjaya mengangkat Terengganu dari tempat yang teruk posisi kemiskinan rakyatnya!

Apakah ini model/contoh pemimpin Melayu Islam yang dipilih oleh 98% rakyat Melayu Islam Terengganu?

Apakah rakyat Terengganu tidak terguris hati kecilnya dek perlakuan tangan-tangan kotor yang hanya berfikir untuk mengisi tembolok sendiri? Jauh sekali untuk sama-sama berkongsi menikmati nikmat tuhan ke atas hambanya!

Apakah tokoh-tokoh pimpinan Melayu BN di Terengganu hanya berhasrat untuk memanipulasi harta rakyat Terengganu sehingga sanggup hidup berdasarkan matlamat menghalalkan cara! Keikhlasan mereka menyokong sesuatu dilihat seperti melindungi suatu kepentingan peribadi yang sukar dilihat dengan mata kasar. Namun jangan kita lupa bahawa kita masih ada Pencipta yang bersifat Maha Mengetahui!
Saya kira petikan di bawah sesuai untuk direnungkan oleh semua sebelum kita semua ranap dek nafsu terhadap dunia yang semakin menghimpit.

Berkata Ulama besar Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim (Datuk Kepada Abdullah Ahmad Badawi)“Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati agama,bangsa dan negara, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”

# Islam Itu Indah #

Wednesday, March 19, 2008

KECELUPARAN YANG SUKAR DIMAAFKAN APABILA INSTITUSI RAJA MELAYU DICABAR PENGAMAL PERLEMBAGAAN!

Episod mengguris kuasa Raja-Raja Melayu sering cuba dicabar oleh orang-orang Melayu sendiri. Apatah lagi bangsa-bangsa lain yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia selepas kemerdekaan, namun kita sebagai Melayu cukup memahami kegusaran bukan Melayu berhubung isu-isu yang cuba disentuh.

Melayu masih boleh memaafkan bangsa bukan Melayu dek perlanggaran yang disulami ketidakfahaman mereka, tetapi Melayu cukup terkilan apabila adanya Melayu yang cuba menidakkan hak-hak institusi istana sebagai kepala rasmi negara! Alangkah sedihnya apabila kedangkalan perbuatan itu lahir dari Melayu yang boleh dikelaskan sebagai elit melayu, samada dari pendidikan dan penguasaan dalam pentadbiran negara.

Raja Berperlembagaan bukan bermaksud institusi beraja boleh melampaui undang-undang persekutuan dan negeri namun ianya juga tidak boleh disentuh dan dilampaui secara terbuka untuk tatapan rakyat dengan tujuan menghormati kepala negara yang memikul setinggi tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt. Prosedur dan tatacara mestilah kepada landasan yang betul tanpa perlu diterjah bagai kaum gasar yang tidak pernah mendapat pendidikan adab yang formal.

Zaman imperial dan koloni penjajahan ke atas Tanah Melayu jelasnya cuba mengurangkan kuasa raja-raja Melayu apabila mereka gagal untuk menyanggah ketuanan Melayu berkaitan hasil mahsul yang sukar dimonopoli sepenuhnya oleh mereka.

Setelah kuasa-kuasa imperial tersebut berjaya diusir dari bumi bertuah ini, sehingga hari ini masih terdapat kesan-kesan penjajahan dalam diri anak Melayu sendiri yang kadangkala mengguris perasaan apabila ketuanan Melayu dan hak rajanya cuba disanggah sewenangnya!

Hari ini, sebelas hari dari tarikh Pilihanraya Umum Malaysia yang ke 12 (08 Mac 2008), sekali lagi Institusi Raja- Raja Melayu cuba disentuh oleh manusia yang kuatnya berpegang kepada common law diasaskan penjajah. Begitu sedih sebagai Melayu, melihat pengamal undang-undang tertinggi negara, juga seorang Melayu yang ditauliahkan oleh pemimpin Melayu berwatikahkan dan diperkenan Raja Melayu sendiri.



Berikut disiarkan kenyataan penuh Abd Ghani Patail (Ketua Peguam Negara Malaysia):

"Pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat oleh Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja menurut Perkara 14(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Dalam hal ini, calon yang layak dilantik sebagai Menteri Besar hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja boleh mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyedari sepenuhnya tentang peruntukan tersebut dan bahawa Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar. Ini adalah kerana menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon Baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar. Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut.
Dalam soal pemilihan Menteri Besar, Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja adalah terikat dengan peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan sesiapa jua daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut hendaklah dilantik.
Dalam hal yang sedemikian, mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja atau sesiapa jua tetapi seorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.
Oleh kerana itu dalam hal pelantikan Menteri Besar, tidak berbangkit isu perebutan antara Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja pada satu pihak dengan Kerajaan Negeri pada satu pihak lain.
Proses pelantikan Menteri Besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh Undang-Undang sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu."

Nah, inilah pengumuman terbuka orang Melayu yang ‘cerdik’ tentang undang-undang negara namun terlupa ‘adabnya’. Pengumuman ini turut mendapat liputan media arus perdana.

Namun Melayu Malaysia masih bernasib baik bila ada Melayu yang berani mempertahankan adab sebagai rakyat dengan rajanya, sekalipun hanya sebagai rakyat biasa yang tidak diwatikahkan sebagai wakil baginda.

Pensyarah Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Abdul Ghani tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka kepada umum.
"Dia telah membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku, lantaran kelewatan proses perlantikan Menteri Besar Terengganu dengan mendakwa terdapat campurtangan dalam hal tersebut oleh Yang Di-Pertuan Agong, ia adalah tindakan yang tidak wajar.
"Kenapa dia perlu buat kenyataan terbuka mengenai hal tersebut sedangkan beliau boleh menyelesaikannya secara prosedur yang lebih sesuai," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Aziz juga mempertikaikan mengenai tindakan campurtangan Peguam Negara itu yang menimbulkan persoalan berkaitan bidang kuasa beliau.
"Sebagai Peguam Negara, beliau adalah penasihat undang-undang Persekutuan, sedangkan Penasihat Undang-undang Negeri tidak memberikan apa-apa komen.
"Ini jelas menunjukkan beliau telah melanggar bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya dan ini adalah suatu perkara yang tidak betul," katanya.
Jelasnya, Melayu penderhaka sememangnya akan ditentang oleh Melayu yang setia dan beradab. Biarpun Hang Tuah terlalu beradab namun tidak mendapat tempat di hati raja, namun kebiadapan Hang Jebat melangkah adab dan adat sesekali tidak dijulang oleh rakyat!

Persoalan; dimana Ketua Badan Eksekutif Melayu yang diwatikahkan oleh Raja Melayu? Kenapa begitu naïf membiarkan ketuanan dan adab dengan institusi raja-raja Melayu disanggah anak Melayu tanpa ada suara memanah kebiadapan tersebut?

Bangunlah wahai Melayu, sesungguhnya Melayu telah banyak meninggalkan adab dengan tuannya, apatah lagi tuhannya. Ketahuilah, kamu tidak akan selamat selagi kamu bergelar penderhaka.

Beradablah…………….

# Islam Itu Indah #

Tuesday, March 18, 2008

BARISAN KABINET BARU 2008- Satu Ulasan

BARISAN KABINET BARU 2008
18/03/2008 3:37pm

PERDANA MENTERIDatuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
TIMBALAN PERDANA MENTERIDatuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak
JABATAN PERDANA MENTERI
MenteriTan Sri Bernard Giluk DompokDatuk Seri Mohamad Nazri Abdul AzizDatuk Dr. Ahmad Zahid HamidiDatuk Zaid IbrahimDatuk Amirsham A. Aziz
Timbalan MenteriDatuk Mohd. Johari BaharomDatuk Dr. Masitah IbrahimDatuk Hassan MalikS.K. Devamany
KEMENTERIAN KEWANGAN
MenteriDatuk Seri Abdullah Ahmad BadawiTan Sri Nor Mohamed Yakcop
Timbalan MenteriDatuk Ahmad Husni Mohamad HanazlahDatuk Kong Cho Ha
KEMENTERIAN PERTAHANAN
MenteriDatuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak
Timbalan MenteriDatuk Wira Abu Seman Yusop
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
MenteriDatuk Seri Syed Hamid Albar
Timbalan MenteriDatuk Chor Chee HeungSenator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh
KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
MenteriDatuk Ong Ka Chuan
Timbalan MenteriDatuk Robert Lau Hoi ChewDatuk Hamzah Zainuddin

KEMENTERIAN KERJA RAYA
MenteriDatuk Ir. Mohd. Zin Mohamad
Timbalan MenteriDatuk Yong Khoon Seng
KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
MenteriTan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin
Timbalan MenteriDatuk Liew Vui KeongJacob Dungau Sagan
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
MenteriDatuk Seri Dr. Rais Yatim
Timbalan MenteriDatuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar
KEMENTERIAN PENERANGAN
MenteriDatuk Ahmad Shabery Cheek
Timbalan MenteriDatuk Tan Lian Hoe
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
MenteriDatuk Dr. S. Subramaniam
Timbalan MenteriDatuk Noraini Ahmad
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
MenteriDatuk Ismail Sabri Yaakob
Timbalan MenteriWee Jeck Seng
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
MenteriDatuk Shahrir Abdul Samad
Timbalan MenteriJelaing anak Mersat
KEMENTERIAN TENAGA AIR DAN KOMUNIKASI
MenteriDatuk Shaziman Abu Mansor
Timbalan MenteriDatuk Joseph Salang Anak Gandum
KEMENTERIAN PELAJARAN
MenteriDatuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan MenteriDr. Wee Ka SiongDatuk Razali Ismail
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
MenteriDatuk Seri Khaled Nordin
Timbalan MenteriDatuk Dr. Hou Kok ChungDatuk Idris Haron
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
MenteriDatuk Noh Omar
Timbalan MenteriDatuk Saifuddin Abdullah
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
MenteriDatuk Douglas Unggah Embas
Timbalan MenteriDatuk Abdul Ghapur Salleh
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
MenteriDatuk Mustapa Mohamed
Timbalan MenteriDatuk Rohani Abdul Karim
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
MenteriDatuk Ong Tee Keat
Timbalan MenteriDatuk Anifah Aman
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
MenteriDatuk Dr. Maximus @ Johnity Ongkili
Timbalan MenteriFadilah YusOf
KEMENTERIAN PELANCONGAN
MenteriDatuk Seri Azalina Othman Said
Timbalan MenteriDatuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib
KEMENTERIAN PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN
MenteriDatuk Mohd. Shafie Apdal
Timbalan MenteriTeng Boon Soon
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
MenteriDatuk Dr. Ng Yen Yen
Timbalan MenteriNoriah Kasnon
KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
MenteriSenator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib
Timbalan MenteriTan Sri Joseph KurupJoseph Entulu Belaun
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MenteriDatuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan MenteriSenator A. Kohilan Pillay
KEMENTERIAN KESIHATAN
MenteriDatuk Liow Tiong Lai
Timbalan MenteriDatuk Dr. Abdul Latiff Ahmad
KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
MenteriDatuk Seri Zulhasnan Rafique
Timbalan MenteriDatuk M. Saravanan

Ulasan;

Selepas BN dimandatkan dengan majority mudah (tidak kepada kiraan 2/3) pada 8 Mac 2008 (PRU12), PPM Malaysia ke 5 telah mengisytiharkan barisan kabinet kerajaan Malaysia untuk Dewan Rakyat berlandaskan kepada harapan dan sepenuhnya berharap akan berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap corak kepimpinan beliau.

Namun, jika dilihat secara mendalam barisan kabinet yang diumumkan beliau, ternyata PPM masih memandang tokoh-tokoh UMNO lama didalam barisan kepimpinannya dan kurang relevan di mata rakyat.

Apakah barisan kepimpinan beliau sudah ketandusan pemimpin berwibawa dengan membawa masuk dan melantik sebagai senator kepada mereka yang tidak tercalon sebagai YB pada PRU12 yang lepas. Bahkan,paling merimaskan apabila terdapat pemimpin yang terbukti menghakis kepercayaan rakyat suatu masa dahulu turut membarisi kabinet! Apakah ini perkara yang dinamakan sebagai terlepas pandang oleh PPM? Ingatlah, peristiwa masih segar semasa PRU12 bilamana BN terutamanya UMNO telah meletakkan calon-calon bermasalah ekoran sikap terlepas pandang juri penapisan calon parti. Cukuplah sekali terpalit dengan noda, belajarlah untuk berubah demi nasib rakyat Malaysia. Usahlah dijual tin yang kosong dengan harga yang tidak munasabah demi kepentingan perut sendiri!

Ingat, rakyat mungkin akan berhenti melontar protes, bahkan terus merejam pentadbiran negara jika ukuran awal lontaran awal gagal dibaca pemimpin!

Isu kaliber dan keupayaan ahli barisan kabinet bakal direjam Barisan Alternatif jika mereka gagal untuk membuktikan mereka layak memegang portfolio yang dianugerahkan.

Hanya sekelumit bangga mampu dihamburkan kepada PPM apabila beliau secara berani menghilangkan muka-muka lama dalam kabinet yang sememangnya terbukti banyak merosakkan Malaysia dan menjual nasib rakyat sendiri. Tahniah! Anda tidak kalah kepada desakan dan pengaruh mereka, namun mungkin terlepas pandang untuk melantik ahli yang tidak tercalon dan terbuang dengan kuasa rakyat.

Ingatlah akan seruan, pemimpin yang berhak ialah mereka yang adil, berilmu, beramal, bersederhana, beriman, bermusyawarah, berihsan, dan bertaqwa di sisi Allah.

#Islam Itu Indah#

Sunday, March 16, 2008

DASAR EKONOMI BARU MALAYSIA (DEB 1970-1990)

Bingkisan 1;

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan di bawah pentadbiran perdana menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Dato’ Husin. Antara tujuan diwujudkan dasar tersebut ialah menangani masalah kemiskinan pelbagai kaum merangkumi Melayu sebagai kaum terbesar dan berstatus bumiputera, manakala kaum Cina menduduki tempat kedua terbesar tetapi berstatus bukan bumiputera dan kaum India adalah kaum ketiga terbesar dengan status sama seperti kaum Cina. Intipati penting pengwujudan DEB ialah mengurangkan jurang ekonomi antara tiga kaum terbesar di Malaysia dan hak bersama untuk memajukan diri tanpa mengira bidang yang ingin diceburi. Sebagai tuan rumah, kaum Melayu telah diperuntukkan sedikit keistimewaan dengan jaminan sekurang-kurangnya menguruskan dan memiliki 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

Persoalan, selepas 30 tahun DEB dilancarkan, ke mana halatuju Melayu? Apa sumbangan DEB yang dilihat terbesar kepada orang-orang Melayu yang dijamin oleh dasar ini? Dimanakah dan apakah tahap ekonomi orang-orang Melayu pada abad ke-20 ini? Berapa peratus kegagalan dasar ini dan sejauh mana kajian semula telah dibuat oleh penggubal dasar dan pemerintah? Apakah langsung tiada langkah proaktif hasil kertas putih yang dikeluarkan selepas 1990?

Soalan-soalan secara sepintas lalu dikemukakan di atas ialah untuk mencuit kesedaran orang-orang Melayu tentang di mana mereka sekarang. Ya! Kita berbangga apabila segelintir Melayu elit telah dilahirkan hasil daripada DEB namun apakah kesinambungan hasil yang telah dihasilkan oleh DEB? Jelas dan nyata, kelahiran Melayu elit ini gagal membimbing dan membawa masyarakat Melayu berada pada tahap yang sepatutnya. Buktinya, Melayu masih gagal mencapai 30% penguasaan ekuiti di dalam sector ekonomi Malaysia. Isu berkenaan penguasaan ekuiti Melayu telah menjadi isu yang agak panas di peringkat Melayu elit ekoran terdapat dakwaan bahawa bahawa Melayu sudah mencapai penguasaan yang dijangka DEB. Kita melihat bagaimana tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan Melayu bangkit secara lantang menentang kenyataan itu dan Melayu masih lagi GAGAL untuk berada pada tahap selesa sehingga kini. Walaupun kebanyakkan tampuk pentadbiran sesebuah organisasi perniagaan di Malaysia berjaya dipegang oleh Melayu, namun banyak juga yang berada di bawah perlindungan kerajaan. Ini menggambarkan Melayu masih belum cukup cekap untuk menempuh dan berdiri teguh untuk menguasai ekonomi di negara sendiri. Memang diakui, terdapat juga Melayu yang berjaya tanpa perlindungan kerajaan, namun peratus kejayaan tersebut masih terlalu kecil bila mana dibandingkan dengan peratus yang masih berkait kerajaan dan yang terbesarnya, golongan pertengahan dan miskin Melayu yang agak perlahan untuk dibawa sama dalam kategori ‘melayu berjaya’.

Penilaian dan pemerhatian kita terhadap Melayu;

# Melayu yang berjaya hasil daripada DEB lebih mementingkan kedudukan, kuasa dan kewangan sendiri daripada bersama masyarakat Melayu yang masih perlu dibimbing untuk sama-sama mengecapi kejayaan.

# Melayu sanggup mengancam Melayu semata-mata perkara keduniaan. Penindasan dan ketidakadilan kerap berlaku dan ini semakin membantutkan tuntutan DEB untuk mengecapi hasil kejayaaan secara sama rata.

# Melayu mudah terpesona dan hanyut kepada perkara-perkara yang merugikan diri sendiri. Begitu banyak kegiatan luar yang disertai oleh golongan muda dan remaja Melayu dan penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti yang menyalahi hukum agama.

# Melayu sukar untuk sedar dengan permainan yang diwujudkan anasir luar bahkan begitu mudah menerima sesuatu yang pada zahir dan batin hanyalah tin kosong yang dipalu untuk tarikan semata.

# Melayu berpendirian sukar untuk berdiri di atas kaki sendiri, hidup perlu kepada bantuan dan ihsan.

# Melayu suka kepada sikap menuruti secara membuta tuli. Bahkan, ada yang terlalu teruk sehingga boleh diibaratkan sebagai lembu dicucuk hidungnya.

# Melayu mudah lupa. Itu ialah kata keramat Tun Dr. Mahathir yang perlu direnungi demi keutuhan Malayu.

# Melayu menolak agamanya sendiri. Kenyataan ini dilihat begitu kasar dan berat namun itulah hakikat yang perlu diakui oleh semua Melayu.

Barangkali boleh digambarkan sedemikian;

Soalan: Apa agama Melayu?
Jawapan: Semestinya Islam. (Tapi ada jugak kes-kes Melayu yang memilih untuk tidak berada di bawah Islam, seperti kes-kes murtad dan kes anti hadith dan penjelmaan ideolgi baru Islam Hadhari-kenapa perlu kepada konsep ini?)
Soalan: Apa pendirian Melayu terhadap Islam?
Jawapan: Menyokong pada dasar, tidak kepada perlaksanaan. (Ini perlu diperbetulkan.Hukum Islam tidak diturunkan sekadar untuk dibaca dan dibukukan. Matlamatnya akan tercapai sekiranya perlaksanaan dibuat)
Soalan: Apa komitmen Melayu terhadap Islam?
Jawapan: Memorandum/ucapan/bantahan bertulis akan dibuat kepada individu/organisasi yang dilihat menyentuh sensitivity Islam.(Ini juga perlu dikaji semula,dengan kata lain, bukan setakat pemulauan secara fizikal terhadap mereka, bahkan patut dan wajar diperangi tanpa kompromi sebagai pengajaran bahawa Islam tidak mempunyai pengikut yang pendek lidahnya dan kecut hatinya.
Soalan: Bagaimana Melayu menjunjung Islam sebagai way of Life?
Jawapan: Mengamalkan Islam secara syarat. (Lagi sekali, jawapan terlalu longgar dan kurang memiliki ruh Islam. Dengan sebab itu, begitu ramai Melayu golongan tua, dewasa dan muda mudi secara mudahnya tidak begitu menonjolkan penghayatan terhadap Islam; sebagai contoh; menutup aurat di kalangan Melayu lelaki dan wanita tanpa beza had umur.)

Rasanya gambaran yang cuba disentuh memadai untuk direnungi semua pihak. Yang penting, kesudian untuk berfikir bakal mengubah apa yang sedang berlaku di bumi Malaysia hari ini. Ayuh, jangan kita persiakan perjuangan untuk membawa Melayu kepada tempat yang sepatutnya.

Penulis ingin menambah, apa kata dasar DEB yang diwartakan diwarnai dengan sentuhan oleh Dasar Ekonomi Islam? Ini dijamin keberkesanannya kerana Islam tetap berpegang kepada keadilan yang hakiki dan menjamin kejayaannya.

Ayuh! Sebagai Melayu yang mengaku Islam, maka Islam lah cara hidup yang wajib diikuti. Cuba kita buat satu dasar yang mengambilkira kaedah-kaedah yang digariskan Islam sepenuhnya.

*Islam itu Indah*